KEPERLUAN UNDANG-UNDANG

PENGENALAN
Pada bulan Februari 1994, Kerajaan telah mewartakan satu akta baru iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang lebih komprehensif, meliputi semua sektor-sektor industri. Satu pendekatan baru juga telah diserapkan dalam Akta ini iaitu pendekatan peraturan kendiri ( self regulation).


AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 1994 ( AKTA 514)

Akta ini dinamakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Tetakluk kepada subseksyen (3) . Akta ini hendaklah terpakai di seluruh Malaysia bagi industri yang dinyatakan dalam jadual.

Peruntukan Akta ini hendaklah menjadi tambahan kepada, dan tidak mengurangkan , peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketakkonsistenan antara peruntukan Akta ini dengan mana-mana undang-undang bertulis lain mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, peruntukan Akta ini hendaklah mengatasi dan peruntukan yang bercanggah atau tak konsisten dalam undang-undang bertulis lain itu hendaklah, setakat percanggahan atau ketakkonsistenan itu, ditafsirkan sebagai pengganti.

Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain,

“bahan” ertinya apa-apa bahan semulajadi atau buatan , sama ada dalam bentuk pepejal atau cecair atau dalam bentuk gas atau wap atau apa-apa gabungannya;

“bahan bagi kegunaan semasa bekerja” ertinya apa-apa bahan yang dimaksudkan atau dibekalkan bagi kegunaan, sama ada secara eksklusif atau tidak, oleh orang-orang semasa bekerja;

“boleh dipraktikkan” ertinya boleh dipraktikkan dengan mengambil kira :-
*Teruknya atau bahaya risiko yang terlibat;
*Keadaan pengetahuan mengenai bahaya atau risiko itu dan apa-apa cara untuk
menghapuskan atau mengurangkan bahaya risiko itu;
*Ada tidaknya dan kesesuaian cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya atau
risiko itu;
*Kos untuk menghapuskan atau mengurangkan bahaya atau risiko itu.

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh Akta ini atau melalui peraturan-peraturan;

“ industri” ertinya perkhidmatan awam , pihak-pihak berkuasa berkanun atau mana-mana aktiviti ekonomi yang disenaraikan ;

“kerajaan” ertinya Kerajaan Persekutuan, Kerajaan sesuatu negeri atau Kerajaan Tempatan ;

“kesatuan sekerja” ertinya apa-apa persatuan atau gabungan pekerja atau majikan mengikut pengertian Akta Kesatuan Sekerja 1959;

“kontrak perkhidmatan” ertinya apa-apa perjanjian sama ada secara lisan atau bertulis dan sama ada secara nyata atau tersirat, yang menurutnya seseorang bersetuju untuk menggaji seseorang yang lain sebagai pekerja dan orang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja termasuklah suatu kontrak perantisan;

“loji” termasuklah apa-apa jentera, kelengkapan, perkakas, alat atau peralatan, apa-apa komponennya dan apa-apa jua yang dipasangkan , disambungkan atau diperlengkapkan kepadanya ;

“majikan” ertinya majikan langsung atau majikan utama atau kedua-duanya;

“majikan utama” ertinya pemunya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan termasuklah :
*Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah
kepada seseorang pekerja;
*Penghuni sesuatu tempat kerja;
*Wakil disisi undang-undang pemunya atau penghuni yang telah meninggal dunia dan;
*Mana-mana kerajaan di Malaysia , jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa
tempatan atau badan berkanun

“majlis” ertinya Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 8;

“orang yang bekerja sendiri” ertinya seseorang individu yang bekerja untuk keuntungan atau ganjaran selain di bawah kontrak pekerjaan, sama ada atau tidak dia sendiri mengambil kerja orang lain;

“pegawai” ertinya pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dilantik di bawah subseksyen 5(2) dan termasuklah Ketua Pengarah , Timbalan Ketua Pengarah , Pengarah, Timbalan Pengarah dan Penolong Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan;

“pekerja” ertinya seseorang yang diambil kerja dan diberi gaji di bawah kontrak perkhidmatan mengenai atau yang berkaitan dengan kerja suatu industri yang baginya Akta ini terpakai dan :
*Yang diambil kerja secara langsung oleh majikan utama mengenai apa-apa kerja
industri itu, atau yang bersampingan dengan atau sebagai permulaan bagi atau yang
berkaitan dengan kerja industri itu, sama ada kerja itu dilakukan oleh pekerja itu
di tempat kerja atau di tempat lain;
*Yang diambil kerja oleh atau melalui seorang majikan langsung di tempat kerja
industri itu atau di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya mengenai kerja
yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja industri itu, atau yang menjadi
permulaan bagi kerja yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud industri
itu, atau;
*Yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan sementara kepada majikan utama oleh
orang yang dengannya orang yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan itu
telah memasuki suatu kontrak perkhidmatan;

“pembekalan” berhubungan dengan apa-apa loji atau bahan, ertinya pembekalan melalui penjualan, pertukaran, pemajakan, penyewaan atau sewabeli, sama ada sebagai prinsipal atau ejen bagi yang lain;

“penghuni” berhubungan dengan tempat kerja , ertinya seseorang yang menguruskan atau mengawal tempat kerja ;
“premis” termasuklah
*Mana-mana tanah, bangunan atau bahagian mana-mana bangunan;
*Mana-mana kenderaan, vesel atau pesawat udara;
*Apa-apa pepasangan di atas tanah, pepasangan luar pesisir atau pepasangan lain sama
ada di atas dasar atau yang terapung di atsa mana-mana air dan;
*Mana-mana khemah struktur boleh alih.

“tempat kerja” ertinya premis tempat orang-orang bekerja atau premis yang digunakan bagi penyimpanan loji atau bahan.

Bagi maksud akta ini , risiko yang berbangkit daripada aktiviti orang-orang yang sedang bekerja hendaklah dikira sebagai termasuk risiko yang berkaiatan dengan cara suatu pengusahaan dijanakan, loji atau bahan yang digunakan bagi maksud sesuatu pengusahaan dan keadaan premis yang digunakan sedemikian atau mana-mana bahagiannya.

Bagi maksud Akta ini :
*“kerja” ertinya kerja sebagai seorang pekerja atau sebagai orang yang bekerja
sendiri;
*seseorang pekerja disifatkan sedang bekerja sepanjang masa dia berada di tempat
kerjanya tetapi tidak selainnya; dan
*orang yang bekerja sendiri adalah sedang bekerja sepanjang masa yang
ditumpukannya kepada kerja sebagai orang yang bekerja sendiri.

TUJUAN AKTA
Terdapat beberapa objektif bagi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, antaranya ialah :
*Untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang
bekerja terhadap risiko kepada keselamatan atau kesihatan yang berbangkit daripada
aktiviti-aktiviti orang-orang yang sedang bekerja.
*Untuk melindungi orang-orang di tempat kerja selain daripada orang-orang yang
sedang bekerja terhadap risiko keselamatan atau kesihatan yang berbangkit daripada
aktiviti orang-orang yang sedang bekerja.
*Untuk menggalakkan suatu persekitaran pekerjaan bagi orang-orang yang sedang
bekerja yang disesuaikan dengan keperluan fisiolgi dan psikologi mereka.
*Untuk mengadakan cara yang menurutnya perundangan keselamatan dan kesihatan
pekerjaan yang berkaitan boleh digantikan secara berperingkat-peringkat oleh
sistem, peraturan dan tata amalan industri yang diluluskan, yang berjalan secara
bergabung dengan peruntukan Akta ini yang dimaksudkan untuk mengekalkan atau
memperbaiki standard keselamatan dan kesihatan.


"Akta 514 adalah akta induk kepada semua akta berkaitan dengan keselamatan dan
kesihatan pekerjaan. Ia menambah kepada sebarang undang-undang bertulis sebelumnya
dan mengatasi sebarang peruntukan bertulis yang bercanggah atau bertindan
dengannya."



TANGGUNGJAWAB MAJIKAN, PEKERJA DAN SUB-KONTRAKTOR
Dalam melaksanakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, terdapat beberapa kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh tiga pihak yang utama iaitu majikan, pekerja dan sub-kontraktor. Antara tanggungjawab tersebut adalah :

Tanggungjawab Majikan
Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan , kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Perkara yang diliputi oleh kewajipan itu termasuklah terutamanya :
1.Pengadaan dan penyelenggaraan loji dan sistem kerja yang, setakat praktik,
selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.
2.Pembuatan perkiraan bagi menjamin, setakat yang praktik, keselamatan dan ketiadaan
risiko.
3.Pengadaan, maklumat, arahan , latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu
untuk memastikan setakat yang praktik , keselamatan dan kesihatan pekerjanya yang
sedang bekerja.
4.Pengadaan dan penyelenggaraan persekitaran pekerjaan bagi pekerja-pekerjanya yang , setakat yang praktik, selamat , tanpa risiko kepada kesihatan dan memadai
berkenaan dengan kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.
5.Menyediakan seberapa kerap yang sesuai untuk mengkaji semula pernyataan bertulis
dasar amnya berkenaan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerjanya semasa
bekerja dan organisasi dan perkiraan yang sedang berkuatkuasa bagi menjalankan
dasar itu, dan membawa pernyataan dan apa-apa kajian semulanya kepada perhatian
semua pekerjanya.
6.Menjalankan pengusahaannya dengan cara memastikan , yang pekerja , setakat yang
praktik , bahawa dia dan orang-orang lain , yang bukan pekerjanya, yang mungkin
tersentuh oleh pengusahaan itu tidak terdedah kepada risiko kepada keselamatan
atau kesihatan mereka oleh sebab pekerja pengusahaan itu.


Tanggungjawab Pekerja
Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pekerja yang sedang bekerja :
1.Untuk memberi perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan
orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakan atau peninggalannya semasa bekerja.
2.Untuk bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam menunaikan
apa-apa kewajipan atau kehendak yang dikenakan ke atas majikan atau orang lain itu
melalui Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya
3.Untuk memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau
pakaian perlindungan yang diadakan oleh majikan bagi maksud mencegah apa-apa
risiko kepada keselamatan dan kesihatnnya.
4.Untuk mematuhi apa-apa arahan atau langkah tentang keselamatan dan kesihatan
pekerjaan yang diperkenalkan oleh majikannya atau mana-mana orang lain melalui
atau di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

Seseorang yang melanggar peruntukan seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

0 comments:

Post a Comment