PERATURAN-PERATURAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
(PENGGUNAAN DAN STANDARD PENDEDAHAN BAHAN KIMIA
BERBAHAYA KEPADA KESIHATAN) 2000
PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 66 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], Menteri membuat peraturan-peraturan yang berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Nama dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000.
(2) Peraturan-Peraturan ini hendaklah mula berkuat kuasa pada 4 April 2000.
Tafsiran
2. Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain -
“bahan kimia” ertinya unsur kimia, sebatian atau campuran daripadanya, sama ada asli atau tiruan, tetapi tidak termasuk mikro organisma;
“bahan kimia berbahaya kepada kesihatan” ertinya mana-mana bahan kimia yang -
(a) disenaraikan dalam Jadual I atau II;
(b) mempunyai mana-mana sifat yang dikategorikan dalam Bahagian B Jadual I Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pembungkusan dan Pelabelan Bahan Kimia Berbahaya) 1977 [P.U. (A) 143/97];
(c) terdapat dalam takrif “racun makhluk perosak” di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 [Akta 149]; atau
(d) disenaraikan dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 1989 [P.U. (A) 139/89];
“diluluskan” ertinya diluluskan secara bertulis oleh Ketua Pengarah;
“doktor kesihatan pekerjaan” ertinya seseorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Ketua Pengarah untuk menjalankan program pengawasan perubatan pekerja;
“had pendedahan maksimum” ertinya kepekatan di udara purata berpemberat masa lima belas minit yang tiga kali ganda kepekatan di udara purata berpemberat masa lapan jam bahan kimia berbahaya kepada kesihatan yang dinyatakan dalam Jadual I;
“had pendedahan yang dibenarkan” ertinya had siling atau kepekatan di udara purata berpemberat masa lapan jam atau had pendedahan maksimum;
“had siling” ertinya kepekatan di udara yang tidak boleh lebih semasa mana-mana bahagian hari kerja;
“juruteknik higien” ertinya seseorang pekerja atau mana-mana orang lain yang dilantik oleh majikan dan berdaftar dengan Ketua Pengarah untuk menjalankan apa-apa penyiasatan, pemeriksaan atau ujian ke atas kelengkapan kawalan kejuruteraan yang dipasang di tempat kerja atau untuk menjalankan pemantauan pendedahan kimia;
“kelengkapan kawalan kejuruteraan” ertinya apa-apa kelengkapan yang digunakan untuk mengawal pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan dan termasuk kelengkapan pengalihudaraan ekzos setempat, semburan air atau apa-apa kelengkapan penyingkiran dan kelengkapan pencegahan bahan kimia di udara lain;
“kelengkapan pelindung diri” ertinya apa-apa kelengkapan yang dimaksudkan untuk dipakai atau dipegang oleh seseorang yang sedang bekerja dan yang melindunginya terhadap satu atau lebih risiko kepada kesihatan atau keselamatannya dan apa-apa eksesori tambahan yang direka bentuk untuk memenuhi matlamat itu;
“kepekatan di udara” yang berhubung dengan sesuatu bahan kimia ertinya jumlah bahan kimia yang disukat dari segi isi padunya atau jisimnya dalam isi padu udara yang ditetapkan atau bilangan gentian, jika bentuk fizikal bahan kimia itu bergentian, dalam isi padu udara yang ditetapkan yang dibawa oleh atau melalui udara;
“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang dilantik di bawah subseksyen 5(1) Akta;
“pembekal” ertinya seseorang yang membekalkan bahan kimia dan termasuklah perumus pengilang, pengimport atau pengedar;
“pengapit” ertinya seseorang pekerja atau mana-mana orang lain yang dilantik oleh majikan dan berdaftar dengan Ketua Pengarah untuk menjalankan penaksiran risiko kepada kesihatan.
“pengawasan kesihatan” ertinya apa-apa pemeriksaan dan penyiasatan yang mungkin perlu untuk mengesan tahap pendedahan dan kesan dan gerak balas biologi awal, dan termasuk pemantauan biologi, pemantauan kesan biologi, pengawasan perubatan, pertanyaan mengenai tanda-tanda keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan itu dan kajian semula rekod dan sejarah pekerjaan.
“pengawasan perubatan” ertinya pemantauan ke atas seseorang bagi maksud untuk mengenal pasti perubahan taraf kesihatan yang disebabkan oleh pendedahan kepada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan;
“penggunaan” ertinya pengeluaran, pemprosesan, pengendalian, penyimpanan, pengangkutan, pelupusan dan perawatan;
“purata berpemberat masa” yang berhubung dengan kepekatan di udara, ertinya sesuatu purata kepekatan di udara dalam tempoh masa yang ditetapkan;
“Risalah Data Keselamatan Kimia” ertinya suatu dokumen yang mengandungi maklumat yang berkaitan dengan sesuatu bahan kimia dan disediakan menurut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pembungkusan dan Pelabelan Bahan Kimia Berbahaya) 1997 [P.U.(A) 143/97].
Pemakaian
3. (1) Peraturan-Peraturan ini hendaklah terpakai bagi semua tempat kerja yang dalam bidang kuasa Akta yang bahan kimia berbahaya kepada kesihatan digunakan kecuali bahan kimia yang -
(a) ditakrifkan sebagai bahan radioaktif di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304];
(b) barang makanan;
(c) berbahaya kepada kesihatan semata-mata oleh sebab sifat mudah meletup atau mudah terbakar, atau semata-mata kerana bahan kimia tersebut berada pada suhu tinggi atau rendah atau pada tekanan tinggi; dan
(d) keluaran farmaseutikal.
(2) Bagi maksud peraturan ini, “keluaran farmaseutikal” ertinya sesuatu dadah dalam bentuk dos farmaseutikal untuk digunakan oleh manusia sebagai ubat.
Kewajipan majikan dan orang yang bekerja sendiri
4. (1) Jika apa-apa kewajipan dikenakan oleh Peraturan-Peraturan ini ke atas seseorang majikan berkenaan dengan pekerjanya, dia hendaklah, setakat yang praktik, dikenakan kewajipan yang serupa berkenaan dengan mana-mana orang lain yang mungkin terjejas oleh kegiatan kerja yang dijalankan oleh majikan itu, sama ada sedang bekerja atau bukan sedang bekerja, kecuali kewajipan majikan –
(a) di bawah peraturan 26 tidak terpakai bagi orang yang bukan pekerjanya, melainkan jika orang itu berada di premis dan menjalankan kerja untuk majikan dan
(b) di bawah peraturan 27 tidak terpakai bagi orang yang bukan pekerjanya.
(2) Peraturan-Peraturan ini, kecuali peraturan 26 dan 27, hendaklah terpakai bagi orang yang bekerja sendiri sebagaimana yang ia terpakai bagi majikan dan pekerja.
2 comments:
A year or two ago this boat would have almost been obsolete, but there are a new generation of similar boats coming out like the Dagger Approach 10. The Approach is considered a "Cross Over" boat that is suitable both for whitewater and flatwater.
dewalt dpg59
Occupational Safety is essential for the security of people
Fire fighting equipment in Pakistan
Post a Comment